Pages

Followers

Monday, 12 May 2014

Makanan Tradisi suku Kaum Suluk
1.0 Pengenalan
Masyarakat Malaysia kurang mengenali siapa sebenarnya suku kaum Suluk yang terdapat di Sabah. Orang Suluk tidak memanggil diri mereka Suluk melainkan menggelar diri mereka Tausug yang membawa maksud "Orang dari Sulu". Suluk di Negeri Sabah tertumpu di kawasan Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Semporna, Kunak, Kudat dan Kota Kinabalu. Masyarakat Suluk tergolong dalam rumpun Melayu sama seperti suku kaum Melayu Brunei, Melayu Banjar, dan Melayu Jawa. Di Sabah, masyarakat Suluk tempatan telah hidup beratus tahun di Sabah bersama masyarakat lain seperti masyarakat Bajau,Dusun, Sungai dan Murut.
 Suku kaum Suluk kaya dengan kepelbagaian jenis makanan tradisi mereka baik daripada makanan berkuah, makanan laut kepada aneka kuih-muih tradisi suku kaum suluk. Kepelbagaian dan perbezaan makanan suku kaum suluk ini dengan tradisi Melayu telah menyebabkan suku kaum ini dikenali dengan hanya makanan tradisi mereka. Adat resam dan makanan tradisi suku kaum suluk masih lagi diamalkan dalam etnik tersebut. Suku kaum Suluk terkenal dengan makanan tradisi mereka yang sudah menjadi makanan khas setiap kali ada perayaan diadakan seperti majlis perkahwinan, kenduri-kendara dan sebagainya. Antara jenis-jenis makanan yang berkuah suku kaum Suluk ialah Tiyula Itum, Sinagul, Tiyula Istah dan banyak lagi. Jenis makanan mentah pula terdiri daripada Kinilau, agar-agar, tihi-tihi, Gamay dan sebagainya. Kuih-muihnya pula adalah seperti tabit-tabit, ja,pitis,wadjit,panganan,durul, patulakan,bibingka, patolakan dan lain-lain (Kebudayaan Etnik Suluk Sandakan, e.d.).
                                                                                                        
2.0 Perbincangan
Seterusnya kami akan membincangkan beberapa jenis makanan masyarakat Suluk yang sudah menjadi makanan rutin harian mereka. Diantaranya ialah:
a)      Tiyula Itum
b)      Tihi-tihi
c)      Agar-agar dan Latok
Perbincangan ini difokuskan kepada beberapa jenis makanan sahaja disebabkan pembatasan hasil karja yang telah ditetapkan dan masa yang diberikan untuk menyiapkan tugasan ini adalah terhad. Oleh tu, kami akan membincangkan beberapa makanan utama dan popular dalam masyarakat Suluk seperti Tiyula Itum, Tihi-tihi dan agar-agar.
2.1 Tiyula Itum
Makanan tempatan suku kaum Suluk yang paling popular adalah sup hitam Tiyula Itum atau dikenali sebagai Tiyula Itum.  Sup ini terdiri daripada daging dan dimasak dengan kelapa bakar yang sudah dihancur sebagai perencah kepada sup.  Daging yang telah dihiris atau dipotong menjadi potongan kecil akan diperap dengan kunyit, selepas itu daging tersebut akan digaul dengan kelapa bakar yang sudah hancur dikisar sehingga sebati. Selepas itu, daging tersebut akan dimasak dalam periuk dengan menambah air,garam, serai, lada secukup rasa, ajinimoto, dan halia. Tiyula Itum menjadi kegemaran dan kemestian kepada semua suku kaum suluk jika ada perayaan besar-besaran seperti Perkawinan. Makanan telah dikenali ramai oleh suku kaum lain di Sabah seperti Bugis, Bajau, Sungai dan lain-lain. Ini menunjukkan kesepaduan dalam kalangan etnik lain telah terjalin melalui pengenalan makanan tradisi ini.
2.2  Tihi-tihi
Merupakan makanan laut yang sudah menjadi makanan tradisi suku kaum Suluk sejak dari dulu lagi. Tihi-tihi atau pun dikenali ramai sebagai landak laut akan digaul dengan rempah-rempah seperti limau,mangga,bubuk dan lada. Isi landak tersebut yang sudah dicampur dengan rempah-rempahnya akan dicampurkan dengan Sianglag (Ubi Kayu) dan digaul sehingga sebati dan boleh dimakan begitu sahaja. Tihi-tihi ini juga dinikmati oleh etnik lain seperti etnik Bajau di Sabah. Ini menunjukkan makanan ini bukan sahaja dikenali dalam masyarakat Suluk tetapi etnik lain juga turut mengenalinya. Kesepaduan antara etnik ini dapat dilihat apabila mereka saling berkomunikasi antara satu sama lain tentang makanan tradisi mereka di pasaraya. Walaupun menggunakan loghat bahasa yang berbeza tetapi mereka akan cuba memahami antara satu sama lain.

2.3 Agar-agar dan Latok
Gambar diatas merupakan gambar agar-agar dan latok. Makanan laut ini merupakan makanan tradisi suku kaum Suluk dari turun temurun. Makanan ini begitu senang dihidangkan hanya dengan merebus makanan tersebut dan selepas itu tambah rempah-rempah seperti limau, lada sedikit garam dan ajinomoto sebagai perasa. Kadang ada seseorang individu tersebut akan menambah makanan ini dengan Tihi-tihi dan “Bubuk” sebagai menambah rasa dan ia dimakan bersama Sianglag atau Putu (Ubi kayu). Makanan ini baik untuk kesihatan contohnya latok baik dimakan oleh kerana ia merupakan ubat gastric. Oleh yang demikian, makanan tradisi masyarakat Suluk bukan sahaja melambangkan kesepaduan antara etnik disesuatu tempat tetapi makanan tersebut juga kaya dengan khasiat yang terkandung dalam makanan tersebut.
3.0 Kesepaduan Kaum di Malaysia melalui makanan tradisi kaum Suluk di Sabah.
Malaysia sememangnya kaya dengan pelbagai makanan istimewa terutama hidangan tradisional yang terdapat di setiap negeri. Ia menjadi sebahagian keunikan dan identiti bagi mengenali lebih dekat sosial dan budaya sesuatu masyarakat di negara ini. Kepelbagaian etnik seperti Bajau, Sungai dan Bugis di Sabah yang banyak memupuk keharmonian melalui makanan telah menjadi wadah keunikan rakyat Sabah. Kesepaduan etnik melalui makanan tradisi masyarakat Suluk dapat dilihat melalui etnik-etnik seperti berikut:
3.1 Bajau
Masyarakat Bajau merupakan salah satu etnik yang terdapat di Sabah. Masyarakat Bajau mempunyai sedikit persamaan dari segi makanan tradisi masyarakat Suluk seperti Tihi-tihi dan agar-agar serta latok. Kesamaan ini memperlihatkan kesepaduan antara etnik tersebut terutamanya di pasaraya etnik Bajau dan Suluk akan saling berkomunikasi dan berkongsi makanan tradisi mereka antara satu lain untuk dijual beli.
3.2 Bugis
Masyarakat Suluk juga adakalanya mengadakan rumah terbuka apabila majlis-majlis keramaian seperti perkahwinan, putung jambul, kenduri-kendara dan sebagainya. Kepelbagaian etnik yang datang untuk menjama dan memeriahkan majlis keramaian tersebut telah menunjukkan keharmonian dan kesepaduan antara etnik. Contohnya masyarakat Bugis akan menikmati makanan Suluk terutamanya makanan Tiyula Itum kerana makanan tersebut tidak perna mereka nikmati sebelum ini. Oleh itu, kepelbagaian makanan masyarakat Suluk telah menimbulkan kesepaduan antara etnik yang terdapat di Sabah. Lebih-lebih lagi, sesetengah masyarakat Bugis ada yang ingin tahu tentang cara memasak Tiyula Itum. Komunikasi yang berlaku antara etnik tersebut telah menggambar perpaduan dalam kalangan masyarakat tersebut.
3.3 Sungai
Masyarakat Sungai yang terdapat di Sabah tidak ketinggalan untuk menikmati makanan masyarakat Suluk. Masyarakat Sungai akan berkunjung ke gerai makanan masyarakat Suluk semata-mata untuk menikmati makanan tradisi masyarakat tersebut. Hal ini telah menunjukkan penerimaan kepelbagaian jenis makanan antara etnik yang terdapat di Sabah telah melambangkan perpaduan antara etnik. Malahan, keamanan dan keharmonian juga dapat dipupuk melalui kepelbagaian makanan tersebut dalam kalangan etnik-etnik yang terdapat di Sabah.
4.0 Cadangan
Cadangan untuk mempromosikan makanan tradisi masyarakat Suluk ini perlulah diadakan diantara etnik di seluruh Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa agar makanan masyarakat Suluk lebih kenali oleh etnik-etnik lain. Antara cadangan tersebut adalah:
4.1 Kempen Makanan Tradisional di Sabah
Kempen untuk memperkenalkan makanan tradisional di Sabah haruslah kerap kali diadakan di seluruh dunia seperti di IPTA atau pun IPTS agar makanan tersebut dapat dikenali orang ramai bukan sahaja didalam negara malah diluar negara agar makanan tradisional tersebut tidak luput ditelan arus pemodenan dan perubahan masa.
4.2 Bazar diperingkat IPT
Gerai tentang makanan masyarakat Suluk haruslah dibuka untuk memperkenalkan makanan tradisi masyarakat tersebut di peringkat universiti. Hal ini demikian kerana agar mahasiswa-mahasiswi yang datang dari pelosok dunia dan terdiri daripada pelbagai latar belakang budaya dan etnik dapat mengenali makanan dan budaya masyarakat Suluk. Selain daripada itu, makanan Suluk tidak asing lagi bagi etnik-etnik lain yang terdapat di universiti.
Cadangan tentang makanan tradisional ini dapat dinikmati bukan sahaja oleh satu kaum tetapi boleh disajikan kepada kaum-kaum yang lain. Dengan ini, rakyat di negara ini dapat mengeratkan lagi tali persaudaraan dan tidak lagi menimbulkan isu perkauman agar dapat hidup dengan aman serta harmoni bagi menjayakan kesepaduan kaum di Malaysia dalam kepelbagaian etnik terutamanya etnik di Sabah.

5.0 Kesimpulan
Suku kaum Suluk kaya dengan makanan tradisi mereka. Sebenarnya terdapat banyak lagi makanan tradisi suku kaum Suluk yang sudah diasimilasikan dengan makanan kaum Melayu dan dikenali oleh etnik lain seperti (Jualan=Goreng Pisang, Putli Mandi= Putli Mandi, wadjid=wajid, Apam= Panyalam) dan banyak lagi. Ini menunjukkan sebahagian makanan tradisi suku kaum Suluk sebenarnya sudah lama dikenali di semenanjung Malaysia. Namun begitu, ada sebahagian makanan tradisi suku kaum Suluk yang tidak atau kurang dikenali oleh orang ramai. Keunikan makanan tradisi masyarakat Suluk telah menjadi sebahagian daripada identity negeri Sabah.

Kesimpulannya, sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai makanan tradisional tersendiri ialah sesuatu yang harus dibanggakan kerana ia mencerminkan keunikan budaya dan identiti bangsa di negara kita. Oleh itu, kita harus berasa bangga terhadap negara kita dan sama-sama kita merealisasikan tiga kata keramat iaitu perpaduan, kesepaduan dan penyatupaduan menjadi reality dalam kepelbagaian etnik yang terdapat di Malaysia.

No comments:

Post a Comment